Usah terburu-buru ubah rentak, kata Misbun 

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2017 1368
Usah terburu-buru ubah rentak, kata Misbun 
Datuk Lee Chong Wei tidak akan keluar daripada belenggu kemerosotan prestasi selagi tidak menangani krisis identiti yang terbit selepas digugat barisan perseorangan muda dunia.

Itu tafsiran ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, susulan penyingkiran pusingan pertama jaguh perseorangan negara itu dalam Siri Super Terbuka Perancis, semalam. 

Bagi Misbun, anak buahnya itu dibelenggu isu sama, iaitu terlalu memikirkan perlu mengubah corak permainan seiring usianya yang sudah menjangkau 35 tahun.

"Contohlah, 'saya ini sudah berumur, jadi saya perlu memperlahankan permainan'. Sebenarnya jangan ubah selagi anda masih berada di tempat itu. Tiada masalah sebenarnya, ramai pemain berada di atas tiba-tiba jatuh. 

"Paling penting adalah bagaimana anda mahu mengatasinya. Paling utama, Chong Wei jangan putus asa. Maksudnya, dia perlu bekerja lagi untuk sampai ke tahap (permainan) generasi sekarang," ujar Misbun.

Chong Wei dijadualkan untuk beraksi dalam dua lagi saingan bertaraf Siri Super, iaitu Terbuka China dan Hong Kong, bulan depan.

Misbun sama sekali tidak ada halangan untuk anak buahnya itu cuba mencipta kebangkitan, namun menegaskan perlu ada perincian dalam persiapan.

"(Terletak kepada) keinginan dan persiapannya. Kalau dia ada keinginan tetapi tidak bersiap pun tidak boleh. 

"Tetapi sekarang ini, dia sudah berada di situ. Cuma dia tidak boleh ada elemen yang mengganggunya, iaitu dalam aspek pemikiran," katanya.

Sejak tewas dalam pusingan pertama Kejohanan Dunia, Ogos lalu, prestasi Chong Wei semakin tidak menentu apabila rankingnya semakin menurun selepas dia tersingkir awal dalam Terbuka Kanada dan Denmark.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen