Memasuki perlawanan keempat liga round robin, Kelab Badminton (KB) Cheras meraih kemenangan kedua dalam saingan SS Purple League 2017/18 setelah mengatasi KB Serdang 11-7 di Sports Arena Sentosa, sebentar tadi.

Kemenangan yang diraih KB Cheras itu nyata menggembirakan pemain perseorangan lelakinya, Tommy Sugiarto, yang menjadi watak penting memastikan pasukannya memuktamadkan mata penting dalam acara terakhir.

Tommy berkata: “Syukur Alhamdulilah kerana pasukan KB Cheras meraih mata malam ini, saya gembira kerana memenangi perlawanan set terakhir yang penting tadi.

“Saya berasa selesa dengan pasukan ini, lagipun saya pernah bersama mereka semasa tahun 2015. Tambahan lagi, pemain-pemain terbaik di Malaysia juga berada di sini, begitu juga dengan jurulatih seperti Rashid Sidek yang turut berada di sini.

"Saya akan memberikan yang terbaik untuk kelab ini, pertama sekali ingin membawa KB Cheras layak dahulu ke peringkat akhir dan jika layak, saya sudah tentu mahu sasarkan juara SS Purple League,” katanya selepas perlawanan.

KB Serdang terlebih dahulu mencatatkan kemenangan pertama dalam perseorangan lelaki selepas Xu Yiming menang 3-1 (11-8, 11-8, 10-11, 8-6) mengatasi Yeoh Seng Zoe.

Dalam acara perseorangan wanita, KB Cheras bagaimanapun kembali mencatatkan kemenangan selepas pemain dari Singapura, Graze Chua Hui Zhen, menang 3-0 (11-2, 11-8, 11-9) ke atas Huang Qing Hu. Keputusan itu meletakkan KB Cheras mendahului 4-3 buat seketika.

KB Cheras meneruskan kecemerlangan dalam acara beregu lelaki. Pasangan Danny Bawa Chrisnanta-Terry Hee Yong Kai menang 3-1 (11-8, 11-6, 10-11, 11-7) mengalahkan Ong Wei Khoon-Tan Jinn Hwa, sekaligus meletakkan KB Cheras mendahului 7-4 secara keseluruhan set mata.

Acara beregu campuran selepas itu menyaksikan KB Serdang pula menguasai perlawanan. Kali ini gandingan Lim Jee Lynn-Pei Tianyi menewaskan lawan mereka, Ahmad Maziri Mazlan-Payee Lim Peiy Yee 3-1 (11-7, 11-8, 2-11, 1-8) bagi merapatkan jurang keseluruhan set mata menjadi 7-8.

Pemain KB Cheras dari Indonesia, Tommy, menghadirkan senyuman buat pasukannya dalam satu lagi acara perseorangan lelaki setelah dia menang 3-0 (11-6, 11-10, 11-6) mengatasi Yu Chen untuk menghadiahkan kemenangan mutlak mereka malam ini.