Timang cahaya mata lonjak semangat Wee Kiong

Oleh Penulis Jemputan 30 Oktober 2018 262
Timang cahaya mata lonjak semangat Wee Kiong
Bakal menimang cahaya mata sulung, pemain beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong, menegaskan sudah tiba waktu menghadirkan sesuatu di dalam gelanggang.

Berita gembira itu disahkan Wee Kiong dan isterinya, Chia Shi Ling, beberapa hari lalu selepas mereka mendirikan rumah tangga pada Oktober 2016.

Kehadiran ahli keluarga terbaru itu berupaya menjadi pencetus semangat dalam kerjaya seperti dibuktikan Datuk Lee Chong Wei dan pakar beregu campuran, Chan Peng Soon.

"Ia satu berita gembira buat saya. Saya harap berita ini dapat memberikan semangat baru untuk saya.

"Saya juga berharap saya tidak terlepas untuk melihat dia membesar.

"Namun, saya sedar akan tanggungjawab saya bersama skuad negara dan pengorbanan yang perlu saya lakukan," katanya.

Bagaimanapun, Wee Kiong menyedari dia mempunyai tanggungjawab untuk menamatkan kemarau kejuaraan bersama gandingannya, Goh V Shem.

Kali terakhir mereka bergelar juara adalah ketika Siri Super Final 2016 di Dubai sebelum dibelenggu kemerosotan prestasi.

Mereka selepas ini dijadualkan beraksi dalam Terbuka China dan Hong Kong bulan depan selepas V Shem dikhabarkan semakin pulih daripada kecederaan.

"Harapan yang diletakkan kepada kami terlalu tinggi walaupun kami masih belum memperoleh sebarang gelaran tahun ini.

"Apapun, kami masih berusaha memandangkan masih ada kejohanan yang bakal berlangsung."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen