Terlalu memikirkan kemungkinan terburuk gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan disingkirkan daripada kem badminton kebangsaan hanya akan meruntuhkan moral, kata pemain beregu lelaki negara, Teo Ee Yi.

Ketika ini, beregu profesional, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, sedang memimpin perebutan tiket ke Tokyo.

Memandangkan sukar untuk Malaysia memiliki dua wakil beregu lelaki dalam temasya itu, gandingan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ee Yi-Ong Yew Sin dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dijangka akan berputih mata.

Di sebalik itu, BAM juga akan menyingkirkan mana-mana pemain yang tidak menepati piawaian prestasi daripada program kebangsaan pada hujung tahun ini.

Selaku pemain paling senior dalam skuad beregu lelaki kebangsaan, Ee Yi berasakan penyingkiran awal dalam Kejohanan Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis baru-baru ini tidak sepatutnya menjadi faktor untuk mereka berputus asa dalam memburu tiket ke Tokyo.

"Memang rasa kecewa sedikit kerana kami mahu bersaing untuk menewaskan mereka.

"Tetapi kami memberikan tentangan yang baik dan mungkin sudah tahu kelemahan diri.

"Jadi, kami akan membuat yang terbaik dalam baki kejohanan selepas ini," katanya.

Ditanya mengenai tekanan dalam kem kebangsaan, Ee Yi menambah: "Kami perlu mengambilnya dengan positif sebab kami memberikan tekanan sesama sendiri.

"Jadi, ia perkara yang bagus.

"Belum sampai hujung tahun lagi, jadi masih belum tahu siapa yang akan layak (ke Sukan Olimpik).

"Semua (beregu lelaki) masih ada peluang," katanya.