Skuad badminton remaja negara tiba di tanah air, tengah hari tadi, dengan tumpuan kepada pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei, yang merangkul gelaran remaja dunia keduanya selepas 2015.

Di sebalik sambutan hambar di KLIA itu, pegawai petugas dan media masih berasa teruja menyambut juara remaja dunia itu yang mengharumkan nama negara dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Markham, Kanada, kelmarin.

Bagi Jin Wei, kejuaraannya kali ini memberikan kelainan daripada segi emosi berbanding edisi-edisi terdahulu.

"Saya berasa amat gembira.

"Saya sudah melupakan perasaan sewaktu menjuarai edisi 2015 dahulu.

"Kejayaan kali ini benar-benar membuatkan saya teruja," katanya.

Tiada waktu rehat panjang buat Jin Wei memandangkan selepas ini dia perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Masters Korea di Gwangju yang akan bermula minggu depan.

"Saya memerlukan rehat yang cukup buat masa ini.

"Saya memerlukan tidur yang cukup bagi proses pemulihan selepas menghadapi jadual kejohanan yang padat sebelum ini.

"Jika saya mahu membina kejayaan di peringkat senior, saya perlu berusaha keras dan saya memandang ke hadapan untuk menjadi taruhan terbaik negara selepas ini," tambahnya.