Tiada sebarang tekanan buat perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei, andai dia mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menyertai Terbuka China dan Hong Kong, pertengahan bulan depan.

Chong Wei mengalami kecederaan hamstring dalam Siri Super Premier Terbuka Denmark pertengahan bulan ini ketika kecundang kepada Brice Leverdez dari Perancis dalam suku akhir.

Situasi itu juga memaksa Chong Wei menarik diri daripada Terbuka Perancis minggu berikutnya.

Pemain no.1 dunia itu kini kembali menjalani latihan ringan pada Isnin, namun Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, masih belum pasti sejauh mana tahap kecederaan itu mengganggunya.

Chong Wei merupakan juara bertahan Terbuka China dan Hong Kong tetapi berdasarkan keadaan semasa, dia mungkin terpaksa melupakan gelaran berkenaan.

"Dia masih berdepan masalah kerana itulah kamu dapat melihat dia hanya membuat latihan ringan. Kami perlu menilai semula kecederaan yang dialami dan kemudiannya membuat keputuusan.

"Pada saya, dia masih belum cukup pulih, dia mungkin sudah bersedia tetapi kami juga perlu mengambil langkah sebaliknya," jelas Frost.

Dalam pada itu, Frost turut mengakui persembahan wakil negara di Terbuka Perancis baru-baru ini merupakan yang terburuk pernah disaksikan.

Hanya gandingan beregu campuran, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing, mampu meneruskan kemaraan sebelum cabaran mereka berakhir dalam pusingan kedua.

Jelas Frost, ia berbeza dengan prestasi yang ditunjukkan pemain semasa di Terbuka Denmark dan berharap perkara itu tidak berulang.

"Pemain beraksi mantap di Terbuka Denmark, apatah lagi Goh V Shem/Tan Wee Kiong muncul juara acara beregu.

"Tetapi di Perancis merupakan aksi terburuk pernah saya saksikan daripada mereka. Kami perlu bekerja lebih keras kerana persembahan pemain agak teruk," tambahnya.