Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, berasa tiada mana-mana pemain termasuk dirinya yang 100 peratus selamat untuk kekal di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika prestasi tidak memuaskan.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang kini menduduki ranking ke-14 dunia, sedar dia harus bekerja keras untuk sentiasa menunjukkan peningkatan bagi mencapai prestasi yang ditetapkan oleh badan induk itu dalam memantapkan Projek 24.

"Berdasarkan pengumuman BAM, tiada siapa yang 100 peratus selamat. Pemain yang sama umur dengan saya seperti Tan Jia Wei pun telah digugurkan, saya tak sangka dia akan dibuang.

"Jadi, walaupun ada pihak berkata saya paling selamat tetapi saya masih sedar jika dalam setahun tidak mempunyai keputusan yang baik, saya kena bersedia untuk digugurkan," katanya ketika ditemui pemberita dalam sesi latihan rasmi Kejohanan Masters Malaysia di Arena Axiata hari ini.

Jumaat lalu, BAM telah menggugurkan tujuh pemain, iaitu Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Ziyad Md Tah (perseorangan lelaki), Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki) dan Lim Peiy Yee dan Lim Chiew Sien (beregu wanita) yang tidak mencapai sasaran yang ditetapkan sehingga akhir Disember lalu.

Zii Jia, pemenang pingat emas Sukan SEA, juga mahu mencapai sasaran menduduki ranking 10 teratas dunia tahun ini selepas gagal mencapainya tahun lalu.

Diberi undian sukar apabila terpaksa menentang pemain nombor empat dunia, Anders Antonsen dari Denmark dalam Kejohanan Masters Malaysia yang bermula Selasa ini, dia mengharapkan kelebihan beraksi di laman sendiri membantunya mencipta kejutan selepas kecundang dalam kedua-dua pertemuan menentang pemain pilihan ketiga itu setakat ini.

"Memang semua pemain mahu mencipta kejayaan (untuk menang kejuaraan) di negara sendiri tetapi saya nak mengambil selangkah demi selangkah dan tidak memberikan tekanan tinggi kepada diri sendiri," katanya.

Sementara itu, Ee Yi berkata dia dan pasangannya, Yew Sin, sedang membuat perancangan mengenai masa depan mereka seperti pencarian dana dan penaja supaya terus kekal bersaing dalam tempoh kelayakan Sukan Olimpik yang akan berakhir pada penghujung April depan.

"Oleh kerana baru sahaja digugurkan, kami ada sedikit masalah membuat perancangan, namun kami mahu mengucapkan terima kasih kepada BAM kerana telah memberikan kami segala-galanya dan menjaga kami lebih 13 tahun. Tanpa BAM, tiada kami. Kami akan terus berjuang hingga tempoh kelayakan tamat.

"Pemain senior seperti bekas beregu lelaki kebangsaan, Tan Boon Heong, yang juga merupakan idola saya dan pemain profesional, Chan Peng Soon, banyak membantu.

"Selepas ini, mungkin kami akan menyertai latihan bersama beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dan beregu campuran, Peng Soon-Goh Liu Ying," katanya.

-- BERNAMA