Sekalipun barah memaksa Datuk Lee Chong Wei menggantung raket, dia tetap boleh bersara tanpa penyesalan sebagai seorang legenda.

Ketiadaan gelaran Kejohanan Dunia dan pingat emas Sukan Olimpik menjadi pendoroang utama kepada kemahuan Chong Wei untuk terus beraksi di pentas elit dunia walhal Chong Wei sudah berhak untuk bersara dan menikmati hasil keringatnya.

Ini juga di sebalik dia mencipta sejarah muncul antara pemain terulung pernah menghuni ranking nombor satu dunia di samping gelaran sebagai raja kejohanan Siri Super.

"Dia sudah cuba sedaya-upaya dalam Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik, Piala Thomas dan Sukan Asia.

"Ini beberapa gelaran yang dihajatinya tetapi sebagai manusia biasa, kita tidak boleh memiliki kesemuanya.

"Bergelar raja Siri Super dan pemain paling lama yang menguasai takhta nombor satu dunia pada era ini, saya berasakan dia boleh berpuas hati dengan pencapaian ini," kata ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek.

Jika ada individu yang berupaya bangkit daripada dugaan seperti ini, Chong Wei adalah orangnya.

Tetapi, Misbun lebih menjurus kepada pemulihan anak buahnya itu sebelum kembali ke gelanggang.

"Dia harus tahu sama ada kanser itu boleh merebak lagi melalui aktiviti yang dilalui.

"Tetapi, sekiranya tiada tindak balas terhadap rawatan kanser itu, dia harus tahu kedudukannya.

"Sebagai pemain berkaliber, saya tiada masalah jika Chong Wei kembali ke gelanggang pada masa terdekat ini.

"Bagaimanapun, sebagai atlet, dia harus memikirkan bagaimana untuk menjulang semula permainannya," kata Misbun lagi.

Saingan perseorangan lelaki dunia sudah berubah wajah dan mula mengalih tumpuan daripada mereka yang bergelar legenda era ini.

China meletakkan tanggungjawab berkenaan ke atas juara Seluruh England, Shi Yuqi, selepas meniti gemilang bersama Chen Long dan Lin Dan.

Indonesia juga sudah menemui pengganti kepada Taufik Hidayat menerusi Anthony Ginting dan Jonathan Christie.

Tidak ketinggalan, Denmark yang menikmati kejayaan Viktor Axelsen yang meneruskan legasi yang ditinggalkan Peter Gade dengan memenangi Kejohanan Dunia pada 2017.

Bagaimanapun, juara dunia, Kento Momota, adalah ancaman yang dipandang sebagai pemain yang akan merajai saingan perseorangan buat tempoh yang panjang.

Senario itu sekali gus membangkitkan persoalan berapa lama perlu Malaysia menanti untuk pemain seperti Lee Zii Jia, Leong Jun Hao atau Tan Jia Wei untuk berada sebaris dengan nama yang meniti di bibir peminat badminton dunia.