Thinaah harap Deepavali bawa tuah

Oleh Penulis Jemputan 18 Oktober 2017 101
Thinaah harap Deepavali bawa tuah
Pemain perseorangan wanita negara, M. Thinaah, mengharapkan kedatangan Deepavali tahun ini akan membawa tuah kepadanya dalam misi membuktikan wibawa sebagai pemain
senior.


Bagi sambutan pada tahun lalu, Thinaah terpaksa berpisah daripada seisi keluarga untuk mengerah keringat buat Malaysia dalam Kejohanan Remaja Dunia.

Kerana itu, Thinaah menganggap peluang menyambut Deepavali  tahun ini, terutama bersama ibu-bapanya, S. Muralitharan dan Dr Parimala Devi, sebagai sesuatu yang berharga.

Juga tetamu istimewa, rakan daripada skuad perseorangan wanita, Ho Yen Me, Tee Jing Yi, Teoh Me Xing, Joyce Choong dan Lim Chiew Sien.

“Saya sangat menghargai perayaan Deepavali tahun ini kerana pada tahun lepas saya berada di luar negara menghadapi kejohanan. Saya sangat berterima kasih kepada rakan sepasukan yang datang ke rumah untuk meraikan perayaan ini bersama saya,” kata Thinaah.

Thinaah yang begitu prolifik pada waktu remaja akur peralihan sebagai pemain senior tahun ini sebagai sesuatu yang mencabar.

Seperti koleksi pingat dan trofi yang menghiasi rumahnya, anak jati Klang, Selangor ini akan melakukan apa yang terdaya untuk menandingi taruhan utama negara seperti Soniia Cheah dan Goh Jin Wei.

“Saya menyedari saingan senior adalah sukar kerana ia sangat berbeza berbanding dengan remaja. Saya akan berusaha untuk terus meningkatkan prestasi bagi mencipta kejayaan untuk negara,” katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen