Pemain beregu lelaki negara, Teo Ee Yi, menganggap masih terlalu awal untuk menilai keserasian bersama gandingan barunya, Goh V Shem, selepas kurang daripada seminggu menjalani latihan bersama.

Ee Yi dan V Shem digandingkan selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan untuk memisahkan V Shem dan Tan Wee Kiong berikutan prestasi hambar mereka pada tahun ini.

Ee Yi kini dalam fasa membentuk keserasian terbaik bersama V Shem selain menyifatkan pasangannya itu sangat mudah untuk bekerjasama.

Ditanya sejauh manakah dia mengharapkan mereka kekal sebagai beregu negara untuk mengelak sebarang perleraian berlaku lagi, Ee Yi enggan terlalu awal meletakkan sasaran, sebaliknya percaya perubahan positif mampu hadir daripada mereka.

"Dari hari Isnin sehingga sekarang, semuanya baik. Selepas ini, kami tidak tahu lagi berapa lama lagi kami boleh bergandingan. Saya perlu belajar dengan V Shem sebab dia lagi bagus," katanya.

Sementara itu, Ong Yew Sin pula menganggap tiada perbezaan ketara di antara Wee Kiong dan pasangan lamanya, Ee Yi, yang mengawal di bahagian depan jaring.

Bagaimanapun, agak keterlaluan jika prestasi mereka dinilai di gelanggang latihan sahaja, sebaliknya bersedia untuk diuji menerusi kejohanan pertama dalam Terbuka Perancis dari 24 hingga 29 Oktober ini.

"Kedua-dua pemain lebih kurang sama sebab mereka bermain di depan dan masing-masing ada kelebihan tersendiri," katanya.