Bekas pemain beregu nombor empat dunia, Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari, menganggap masih terlalu awal untuk menilai perubahan tampuk kejurulatihan yang diketengahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak tahun lalu.

Ini memandangkan kejohanan Terbuka Thailand siri pertama yang berakhir semalam adalah ujian sulung mereka.


Kesemua taruhan badan induk negara itu sekadar singgah di suku akhir dan tatkala kritikan menjurus kepada tahan persembahan pemain, barisan jurulatih juga terkena tempiasnya.

Ketika kejohanan dunia dihentikan sejak Mac 2020 akibat COVID-19, kesempatan itu digunakan BAM untuk memperkemaskan barisan kejurulatihan yang berpusat di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Pakar dari Indonesia, Flandy Limpele, diberi peranan sebagai ketua jurulatih beregu lelaki sambil bekas pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia 2006, Tan Bin Shen, bertindak sebagai pembantunya.

Hoon Thien How pula yang sebelum ini bersama skuad beregu lelaki ditukarkan bagi melatih pemain beregu wanita untuk membantu ketua jurulatih, Chan Chong Ming.

"BAM letak harapan tinggi, kegagalan meletakkan mereka di bawah tekanan.

"Tekanan itu memang ada tapi (seseorang) jurulatih itu perlu menyerapnya, dia perlu tahu cara untuk menanganinya.

'"Masih terlalu awal (untuk menilai mereka). Lagipun pemain belum menemui rentak permainan," katanya ketika ditemu bual maya bersama wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, hari ini.


Saksikan siaran langsung perlawanan Terbuka Thailand 2021 19-22 Januari ini di saluran Astro Arena 802HD & 801 ??

Posted by Astro Arena on Monday, January 18, 2021


Begitupun, dia berasakan beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam kerugian besar jika masih gagal memanfaatkan ketiadaan wakil dari Indonesia, Jepun dan China selepas ditewaskan beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dalam siri pertama minggu lalu.

Menurut bekas gandingan Mohd Zakry Abdul Latif itu lagi: "Mereka perlu tunjukkan kemampuan.

"Apabila mereka memenangi sesebuah kejohanan, ia akan melonjakkan keyakinan mereka sebanyak 100 peratus.

"Selepas itu apabila berjumpa dengan mana-mana lawan sekalipun, mereka akan rasa yakin untuk menang."