Terbuka Thailand: Perjuangan Pang Ron-Yee See berakhir 

Oleh Shaiful Shamsudin 23 Januari 2021 3111
 Terbuka Thailand: Perjuangan Pang Ron-Yee See berakhir 
Beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, gagal menandingi keupayaan pilihan keempat Kejohanan Badminton Terbuka Thailand yang kedua, Seo Seung Jae-Chae Yujung, sebentar tadi. 

Dalam pertemuan separuh akhir di Impact Arena, Bangkok, itu menyaksikan beregu dari Korea Selatan tersebut tidak diberi laluan mudah. 

Selepas melakar kejutan dengan menyingkirkan pilihan keenam, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja, dari Indonesia dalam satu kebangkitan sengit semalam, kejayaan itu gagal dijelmakan sekali lagi tadi. 

Sejak awal lagi beregu campuran Malaysia tersebut jelas ketinggalan dalam aspek permainan kepada lawan mereka itu hari ini. 

Seung Jae-Chae Yujung tidak menghadapi masalah untuk menguasai set pertama 21-9 dengan menafikan kebangkitan lewat lawan. 

Begitupun, awal set kedua bertukar nada dengan Pang Ron-Yee See semakin kerap mengasak tetapi selepas 9-10, pencabar mereka, yang terkandas dalam suku akhir bagi kejohanan pertama minggu lalu, itu terus mengorak langkah. 

Pukulan Yee See yang terkandas di jaring memberi mata akhir kepada lawan sekali gus kemenangan mutlak 21-16.

Kekecewaan ini bakal menyaksikan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menjadi wakil tunggal negara yang menempah tiket ke final esok selepas Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut terkandas dalam acara beregu wanita, sebentar tadi. 




 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen