Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, menyeru kebangkitan barisan pemain negara dalam kejohanan kedua di Thailand yang bermula esok.

Sekalipun anak buahnya sekadar meraih tempat ke suku akhir dalam Terbuka Thailand pertama yang berakhir semalam, beliau mahu pemain negara terus fokus kepada perjuangan negara dalam kejohanan bertaraf super 1000 itu di Impact Arena, Bangkok.

"Saya tidak boleh kata berpuas hati (sebaliknya) kecewa kerana ada pemain beraksi buruk dan bagus, ada yang kurang menepati jangkaan seperti (beregu lelaki) iaitu Aaron Chia-Soh Woh Yik.

"Mungkin permainan Lee Zii Jia tidak menjadi ketika berdepan Chou Tien Chen.

"Saya harap mereka bangkit dalam kejohanan seterusnya," katanya.


Saksikan siaran langsung perlawanan Terbuka Thailand 2021 19-22 Januari ini di saluran Astro Arena 802HD & 801 ??

Posted by Astro Arena on Monday, January 18, 2021


Selaku pemain perseorangan nombor satu negara, Zii Jia, tidak mahu terbawa-bawa dengan kekecewaan sambil mengakui perlu segera memperbaiki mutu permainannya.

Dia gagal menjelmakan saingan sengit buat pilihan kedua kejohanan dari Taiwan itu apabila tunduk 17-21, 17-21.





"Saya tidak berikan persembahan yang bagus, ia memang teruk.

"Saya kecewa kerana pemain BAM hanya dapat sampai ke suku akhir.

"Tapi kami tiada masa lagi untuk (dibelenggu) kecewa. Kini kami perlu hadapi kejohanan berikutnya, kami perlu bermula segar.

"Sekurang-kurangnya saya perlu buat yang terbaik dalam pusingan pertama esok," katanya pula.