Perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren, mengesahkan tempat dalam suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand kedua selepas menewaskan lawan dari India, H. S. Prannoy, di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi.

Selepas mendapat laluan percuma ke pusingan kedua semalam -- lawannya dari India, B. Sai Preneeth, menarik diri berikutan disahkan positif COVID-19 sehari sebelumnya -- Daren jelas memanfaatkan waktu rehat itu untuk mempamerkan aksi terbaiknya menerusi siri pukulan bertenaga.

Selepas mengikat kedudukan 4-4, Daren tidak pernah ketinggalan untuk memacu mata demi mata sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-17.

Aksi lebih sengit menanti perseorangan veteran itu dalam set kedua di mana Prannoy memaksa Daren mengeluarkan persembahan terbaiknya sehingga kedudukan terikat 18-18.

Ironinya, Daren kali ini memaparkan ketenangan dan kekuatan mental berbeza untuk merampas tiga mata terakhir bagi menamatkan pertarungan selama 40 minit itu dengan kemenangan 21-18.

Menantinya dalam suku akhir esok adalah juara Terbuka Thailand pertama minggu lalu, Viktor Axelsen.

RESULTS: TOYOTA Thailand Open R2 #MAS ?? Liew Daren def. #IND ?? Prannoy H.S 21-17 21-18 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Thursday, 21 January 2021