China sah menarik diri daripada dua kejohanan Terbuka Thailand di Bangkok bulan depan.

Perkara itu disahkan sendiri Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam biarpun pasukan Tembok Besar itu baru sahaja menamatkan kem latihan musim sejuk mereka.

Bagi Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, keputusan itu pasti akan membawa impak besar kepada kejohanan berkenaan tetapi menjamin tumpuan skuad negara tidak akan terganggu.

Apa yang pasti, ketiadaan Shi Yuqi akan membuka laluan buat perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, untuk mencetuskan sesuatu di Bangkok.

"Saya rasakan ia pasti akan memberikan sedikit kelebihan apabila berkurangan lawan yang hebat," kata Choong Hann kepada Nadi Arena.

"Tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana percaya misi kami sewaktu latihan adalah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi mana-mana lawan.

"Ia termasuk pemain terbaik dunia dan dari China.

"Sama ada mereka akan berada di sana atau tidak, ia tidak akan menggoyahkan kepercayaan kami terhadap diri sendiri," katanya.