Terbuka Thailand: Kalah biarlah bermaruah -- Norza 

Oleh Shaiful Shamsudin 19 Januari 2021 13570
Terbuka Thailand: Kalah biarlah bermaruah -- Norza 
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, bingung dengan kegagalan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, melepasi rintangan awal kejohanan kedua badminton Terbuka Thailand kepada Sameer Verma, petang tadi. 

Pemain di ranking ke-10 dunia itu hanya tiga mata untuk menoktahkan kemenangan di Impact Arena, Bangkok, apabila begitu selesa mendahului set kedua 18-8 selepas mengungguli babak awal 21-18. 

Zii Jia, bagaimanapun, gagal bangkit daripada kekalahan set kedua 25-27 sebelum akur dengan kehebatan lawan menerusi 19-21.

"Tiada alasan untuk tewas dalam perlawanan seumpama ini. 

"Kalau kalah, biarlah bermaruah," kata Norza ketika dihubungi maya oleh wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, hari ini. 

 

Bounce back, Zii Jia 💪 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Tuesday, January 19, 2021


Sementara itu, pemain yang mara ke separuh akhir Kejohanan Seluruh England 2020 tersebut mengakui segalanya serba tidak menjadi kepadanya sebaik lawannya dari India berkenaan menukar rentak permainan. 

"Saya banyak buat kesilapan dalam set pertama tetapi saya atasinya dan menang. 

"Selepas mendahului jauh dalam set kedua, saya rasa ada perubahan taktikal dan strategi daripadanya jadi saya kalah. Ia pertarungan yang sukar. 

"Dalam set ketiga pula, Sameer mendahului saya sejak awal hingga mata akhir. Dia beraksi dengan sangat baik terutama daripada segi strategi dalam set kedua," katanya pula. 

 

Saksikan siaran langsung perlawanan Terbuka Thailand 2021 19-22 Januari ini di saluran Astro Arena 802HD & 801 💪🏻

Posted by Astro Arena on Monday, January 18, 2021


Kekecewaan itu juga menyaksikan peluang Zii Jia untuk beraksi dalam Kejohanan Final BWF tipis di sebalik menduduki tangga kelapan siri Jelajah Dunia terbabit. 

Norza juga mengharapkan kekecewaan pemain itu di tangan pencabar di tangga ke-31 dunia tersebut mampu menjadi pengajaran yang cukup baik untuk perjalanan kariernya pada masa akan datang.

"Ini pengajaran yang sangat baik buat pemain muda seperti Lee Zii Jia agar tidak ambil mudah dengan pemain yang di ranking jauh berbeza," katanya lagi.



 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen