Terbuka Thailand: Dua beregu lelaki profesional mandi peluh sebelum mara

Oleh Muzaffar Musa 21 Januari 2021 7220
Terbuka Thailand: Dua beregu lelaki profesional mandi peluh sebelum mara
Dua beregu lelaki profesional negara terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan lawan masing-masing bagi mengesahkan tempat dalam suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand kedua di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi.

Dalam dua perlawanan yang berlangsung serentak itu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bermula baik apabila mengatasi gandingan tuan rumah, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren, 21-15 dalam set pertama.

Bagaimanapun, selepas mendahului 9-6 dalam set kedua, mereka seakan-akan hilang fokus sebelum dikejutkan dengan kekalahan 16-21.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu kembali memberikan fokus terbaik mereka dalam set penentuan untuk mengesahkan tempat dalam suku akhir hasil kemenangan 21-15.

 

RESULTS: TOYOTA Thailand Open R2 #MAS 🇲🇾 Goh V Shem-Tan Wee Kiong def. #THA 🇹🇭 Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-15 16-21 21-15 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Thursday, 21 January 2021


Aksi di gelanggang bersebelahan pula menyaksikan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menghadapi saingan sengit daripada beregu Denmark, Mathias Christiansen- Niclas Nohr.

Selepas tewas mudah 8-21 dalam set pertama, Yew Sin dan Ee Yi menebus maruah mereka dengan memperoleh kemenangan besar 21-7 dalam set berikutnya.

Perlawanan berlangsung sengit dalam set penentuan dengan kedua-dua beregu saling berkejaran mata tetapi selepas mengikat kedudukan di mata 17-17, gandingan negara itu memperoleh empat mata berturut-turut untuk menamatkan pertarungan hampir sejam itu dengan kemenangan 21-17.

 

RESULTS: TOYOTA Thailand Open R2 #MAS 🇲🇾 Ong Yew Sin-Teo Ee Yi def. #DEN 🇩🇰 Mathias Christiansen-Niclas Nohr 8-21 21-7 21-17 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Thursday, 21 January 2021


V Shem-Wee Kiong akan berdepan rakan senegara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam suku akhir esok manakala Yew Sin-Ee Yi akan bertemu wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.


 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen