Pemain badminton tanah air siap siaga apabila 13 wakil layak menyertai dua kejohanan Terbuka Thailand yang berstatus super 1000.

13 wakil membabitkan 24 pemain keseluruhan itu bakal diketuai pemain nombor 10 dunia, Lee Zii Jia, yang bakal menggalas cabaran tunggal dalam perseorangan lelaki termasuk Soniia Cheah di bahagian wanita.

Daripada angka itu, 11 wakil layak secara merit berdasarkan kedudukan dalam ranking 32 terbaik dunia.

Wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, mendapatkan pengesahan daripada Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choon Hann, mengenai kebenaran rasmi buat skuad negara terbang ke Bangkok.

Beliau akur ada elemen keresahan apabila masih menanti kata putus untuk kelulusan beraksi dalam kejohanan itu dengan segala persiapan dokumen.

"Kami akan mematuhi SOP ( prosedur operasi standard) yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan Thailand.

"Walaupun ada kebimbangan, saya yakin ia dapat diselesaikan," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Berdasarkan jadual saingan, wakil bertanding perlu memastikan kehadiran selewat-lewatnya 4 Januari depan bagi menjalani kuarantin sebelum saingan pertama membuka tirai pada 12 Januari 2021 disusuli satu lagi kejohanan, seminggu kemudian.

Dalam kemas kini pertama, senarai pemain bagi kejohanan itu, iaitu beregu lelaki dan campuran masing-masing memiliki empat wakil.

Dua tiket bonus skuad negara menjadi milik beregu wanita, Pearly Tan- M Thinaah selain Hoo Pang Roon- Cheah Yee See yang masing-masing di kedudukan ke-39 dan 35 dunia.

Beregu lelaki menjadi kelompok pemain paling ramai akan ke Thailand menerusi lima pasangan yang ditunjangi Aaron Chia- Soh Woi Yik, manakala Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang merupakan pasangan profesional turut bersama.