Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, terus dibelenggu masalah prestasi apabila gagal melepasi pusingan pertama Terbuka Perancis, sebentar tadi.

Lebih memeritkan, kekalahan kepada Kenta Nishimoto itu adalah rentetan kekecewaan keduanya selepas terkandas dalam pusingan kedua Terbuka Denmark, minggu lalu.

Walaupun memiliki rekod cemerlang dalam dua pertemuan mereka sebelum ini, Chong Wei berjuang dalam tempoh hanya 37 minit sebelum tunduk secara straight set kepada pemain muda Jepun yang sedang meningkat naik itu.

Dalam pertarungan set pertama, jaguh negara yang meraikan hari jadinya yang ke-35 tahun itu dilihat tidak berdepan masalah untuk memimpin permainan sebelum kehilangan rentak dalam pertengahan saingan untuk akur 21-14.

Bagaimanapun, kebangkitan yang diharapkan dalam set berikutnya tidak menjadi kenyataan apabila Nishimoto tidak memberi ruang buat Chong Wei berada di depan sebelum menyudahkan pertarungan mereka dengan keputusan 21-15.

Keputusan lain menyaksikan gandingan beregu lelaki yang baru dibentuk, Goh V Shem-Teo Ee Yi, tampak masih memerlukan masa untuk memperbaiki gandingan mereka apabila tewas 21-10, 21-15 kepada wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Or Chin Chung.

Jejak itu dituruti beregu utama wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, biarpun berhempas-pulas untuk menyaingi pilihan ketujuh kejohanan, Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto, sebelum akur pencabar dari Jepun yang menghuni tangga kelapan dunia itu lebih unggul untuk mara menerusi kemenangan 24-22, 21-19.