Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia hanya akan dianjurkan jika menerima suntikan dana daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, akan berjumpa pihak BWF bagi membincangkan perkara itu sebelum memutuskan sama ada kejohanan tersebut diteruskan atau tidak.

"Buat masa sekarang, hampir pasti ia tidak akan dianjurkan kerana kos yang sangat tinggi.

"Seandainya BWF menjadi penaja, kami akan teruskan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Kejohanan bertaraf jelajah Dunia Siri Super 750 itu diberi kebenaran untuk dianjurkan, namun ia perlu dilaksanakan tanpa kehadiran penonton, yang jelas akan memberi kesan kepada pendapatan BAM.

Difahamkan kos penganjuran kejohanan itu mencecah RM4 juta dengan kebanyakan bintang utama dunia dijangka tidak akan menyertai edisi kali ini berikutan pandemik COVID-19.

Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$750,000 (RM3.2 juta) itu pada asalnya dijadualkan pada 31 Mac hingga 5 April lalu tetapi BWF telah menyusun semula kalendar kejohanan 2020 akibat penularan pandemik COVID-19, yang menyaksikan ia diubah kepada November depan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata BAM akan mengadakan kejohanan dalaman yang akan melibatkan kesemua pemain ABM pada pertengahan bulan depan.

Bagaimanapun, beliau berkata format pertandingan itu masih belum diputuskan tetapi ia perlu dilaksanakan bagi membolehkan setiap pemain merasai suasana pertandingan sebenar.

"Kejohanan ini perlu dilakukan kerana berasakan tiada kejohanan bertaraf antarabangsa dilangsungkan untuk tempoh enam bulan akan datang. Ia akan melibatkan pemain senior, pelapis dan lapan pemain profesional yang berlatih di ABM," katanya.

-- BERNAMA