Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, berdepan tugas sukar menentang gandingan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia hujung bulan ini.

Biarpun rekod pertemuan tidak memihak mereka, Aaron enggan perkara itu menggangu aksi di gelanggang malah terus komited memburu kejuaraan sulung di peringkat antarabangsa.

Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik masih gagal merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah lima kali mara ke final termasuk ketika muncul naib juara Seluruh England 2019.

Melihat kepada undian dalam Terbuka Malaysia, Aaron tidak berselindung dengan kehebatan gandingan dari Indonesia itu, namun mempunyai perancangan tersendiri untuk menyekat dominasi mereka.

"Kami tidak pernah mengatasi mereka, kami sentiasa mengetahui sukar berdepan mereka. Kami akan terus menilai dan berbincang yang lebih konsisten bagi menghadapi mereka dalam Terbuka Malaysia nanti," kata Aaron.

Sementara itu, ranking kelayakan Olimpik ketika ini menyaksikan Aaron-Wooi Yik ditangga kesembilan dengan kutipan 59208 mata.

Justeru, melihat kepada peningkatan penularan pandemik Covid-19, Aaron enggan melihat kejohanan berstatus Super 750 itu ditunda buat kali kedua ataupun dibatalkan kerana selaku pemain, Aaron ternyata dahagakan aksi kompetitif.

"Jika ditunda, menjelang persiapan ke Tokyo, ia memberikan kelebihan bagi kami namun saya tetap mahu turun beraksi dalam kejohanan kerana ia dilihat sebagai medan persiapan ke Sukan Olimpik."