Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, menempah tiket dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Macau setelah menewaskan pilihan keempat dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, dengan straight set, hari ini.

Terdahulu, dalam pertembungan suku akhir, Vivian-Cheng Wen menewaskan beregu di ranking ke-36 dunia dari Hong Kong, Ng Tsz Yau-Yuen Sin Ying, secara straight set untuk menempah perhitungan dengan lawan yang lebih getir, iaitu juara Terbuka Taiwan, Matsuyama-Shida.

Berdepan pilihan keempat tersebut, beregu wanita negara bermula dengan garang untuk terus mendahului set pertama bagi memastikan kemenangan 21-16 dalam tempoh 16 minit.

Dalam set kedua, lawan dari Jepun itu mengemaskan permainan dan mengutip tiga mata pertama sebelum beregu negara kembali memberikan saingan. Namun, kesilapan yang dilakukan Matsuyama-Shida menghadiahkan mata-mata penting kepada Vivian-Cheng Wen.

Ketangkasan yang dipamerkan Vivian-Cheng Wen di penghujung set kedua menyaksikan mereka menempah slot ke pentas final dengan menutup pertarungan 21-17.