Beregu campuran meningkat naik negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, serta pasangan wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mempamerkan aksi memberangsangkan dalam Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Macau di Tap Seac Multisport Pavilion meskipun kecundang kepada lawan masing-masing.

Aksi separuh akhir menyaksikan Kian Meng-Pei Jing turun menentang pasangan Hong Kong, Tse Ying Suet-Tang Chun Man, yang berkesudahan 21-15, 30-28.

Set pertama mudah memihak Ying Suet-Chun Man yang merampas kemenangan 21-15 untuk meletakkan tekanan ke atas pasangan negara.

Kedudukan rapat di antara dua gandingan itu menerbitkan drama apabila tie break diperlukan untuk memisahkan mereka. Jarang sekali berlaku dalam format ini, pertemuan terpaksa ditentukan menerusi pungutan mata ke-30.

Kesempatan serta tuah dimanfaat Ying Suet-Chung Man pada kedudukan terikat 28-28 untuk memperolehi dua mata berharga.

Sementara itu Vivian-Khe Wei tewas dalam perhitungan menentang pasangan Indonesia, Angia Awanda-Mahadewi Ketut, 21-13, 19-21, 10-21.

Vivian-Khe Wei mempamerkan aksi agresif dalam set pertama. Momentum kemenangan 21-13 itu hampir diterjemah menjadi catatan ke final dengan straight sets sebelum beregu lawan bangkit pada penghujung aksi.

Tewas 21-19, Vivian dan Khe Wei tetap melawan meskipun catatan set penentuan tidak mencerminkan aksi dalam gelanggang mereka.

Turut mengalami nasib yang sama adalah pasangan wanita kedua negara, Mei Kuan-Meng Yean yang tumpas kepada pasangan China, Chen Qingchen-Jia Yifan, 15-21, 9-21.

Mei Kuan-Meng Yean gagal untuk mengatasi kehebatan pasangan China itu apabila mudah untuk ditewaskan dalam pertarungan yang mengambil masa 34 minit.