Hasrat beregu campuran dan lelaki negara untuk melangkah ke final badminton Terbuka Macau musnah selepas tumbang di tangan lawan masing-masing, hari ini.

Bertemu pilihan keenam, beregu campuran, Cheah Yee See-Hoo Pang Ron, bergelut untuk menyaingi rentak Wang Chi Lin-Cheng Chi Ya, sebelum tewas set pertama 12-21.

Namun, gandingan Malaysia itu bijak bangkit dan memperkemaskan permainan dalam set kedua, mematahkan serangan lawan untuk menyamakan kedudukan hasil kemenangan 21-15 tetapi lawan dari Taiwan itu jelas lebih unggul untuk menamatkan sengit set ketiga 22-20.

Sementara itu, harapan untuk beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, untuk melangkah ke final turut musnah selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan utama kejohanan dari China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen, dalam straight set.

Tewas 16-21 dalam set pertama, gandingan negara cuba bangkit dalam set kedua untuk mengikat permainan 20-20, namun Li Jun dan Yu Chen ternyata berada dalam kelas tersendiri untuk menamatkan permainan 22-20.