Pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Kejohanan Terbuka Indonesia 2019 selepas mengatasi pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, dalam aksi di Kompleks Sukan Gelora Bung Karno, pagi tadi.

Wakil negara itu mempamerkan penguasaan gelanggang dalam set pertama dan mudah meraih mata demi mata yang berpunca daripada kesilapan lawan sehingga mendahului 13-6 sebelum Chung Man-Ying Suet bangkit mengejar dan meraih empat mata berturut-turut, menjadikan kedudukan 13-10.

Kian Meng dan Pei Jing sempat memperbaiki permainan dan akhirnya menamatkan set pertama dengan keputusan 21-15 dan tempo permainan sama ditunjukkan pasangan itu sehingga menyukarkan lawan untuk mematahkan setiap usaha yang dilakukan.

Ternyata naib juara Terbuka Singapura itu unggul apabila mencatat keputusan 21-14 dalam set kedua, sekali gus meneruskan kemaraan ke suku akhir dan bakal berdepan wakil England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock.