Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren, terpaksa akur dengan kehebatan pemain pilihan utama, Kento Momota, dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia hari ini.

Dalam aksi di Stadium Istora Senayan itu, Daren, 31, tewas kepada pemain Jepun berusia 24 tahun itu 20-22, 14-21.

"Dalam set pertam,a saya mendahului 10-4 tapi Kento ternyata pemain yang hebat," katanya.

Sementara itu, beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, mara ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing-masing.

Gandingan Vivian-Cheng Wen dipaksa bekerja keras sebelum mengetepikan Ashwini Ponnappa-Reddy N. Sikki 22-20, 20-22, 22-20 untuk mara ke pusingan kedua dan akan berdepan pasangan Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan.

Mei Kuan-Meng Yean pula, yang menduduki ranking ke-14 dunia, tidak mempunyai masalah untuk mengalahkan gandingan Indonesia, Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto, 21-16, 21-16.

Bagaimanapun, pasangan negara itu akan melalui halangan berliku apabila berdepan pasangan di ranking ketiga dari Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takashi, dalam pusingan kedua.

Dalam pada itu, dua beregu lelaki negara tewas dalam aksi pusingan pertama hari ini.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada pasangan China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen, 19-21, 21-15, 21-9 manakala satu lagi pasangan negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, tewas kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India, 19-21, 21-18, 19-21.

Dalam satu lagi aksi, pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, menewaskan pasangan China, Lu Kai-Chen Lu, 23-21, 21-13.

-- BERNAMA