Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, berjaya melunaskan dendam ke atas Son Wan-Ho menerusi kemenangan straight set 21-11, 21-12 untuk menempah slot separuh akhir dalam Terbuka Hong Kong, hari ini.

Chong Wei sebelum ini tumpas kepada pemain ranking kedua dunia dari Korea Selatan itu dalam Kejohanan Final Siri Super Dubai, tahun lalu.

Ditambah pula dengan masalah prestasi tidak menentu Chong Wei, aksi suku akhir hari ini menjadi pentas kebangkitan jagoan negara itu.

Chong Wei, yang membawa rekod 10 kemenangan dalam 12 pertemuan menentang Wan-Ho, berjaya mempamer aksi luar biasa untuk mudah memenangi set pertama 21-11.

Biarpun Wan-Ho meningkatkan tempo permainan dalam set kedua, namun Chong Wei berjaya memadam keraguan ketika usianya kini mencecah 35 tahun menerusi aksi bertenaga bagi menewaskan lawan 21-12.

Satu lagi aksi melibatkan wakil negara menyaksikan pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong, tewas 14-21, 17-21 kepada beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.