Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menamatkan kemarau kejuaraan selama hampir lapan bulan dengan menudukkan jaguh China, Chen Long, dalam aksi final Siri Super Terbuka Hong Kong, sebentar tadi.

Chong Wei, yang diletakkan selaku pilihan kelapan, memulakan permainan dengan baik apabila mencipta aksi yang mantap dalam set pertama, sekaligus menggugat prestasi Chen Long yang melakukan rentetan kesilapan hingga memberikan mata kepada lawannya.

Chong Wei terus memimpin permainan ketika Chen Long bergelut mencari rentak permainan dan memenangi set pertama 21-14.

Permainan menjadi semakin rancak dalam set kedua, dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long, memimpin permainan 14-9, namun Chong Wei berjaya melakar kebangkitan untuk menyamakan kedudukan 15-15.

Pertembungan epik ini memberikan penamat indah buat Chong Wei yang menamatkan saingan dengan kemenangan 21-19.

"Saya menikmati perlawanan ini. Saya bermain dengan cemerlang dalam set pertama dan Chen Long mula bangkit dalam set kedua. Saya mahu memberikan yang terbaik dan berjaya muncul juara," kata Chong Wei.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang menghadiri perlawanan ini memberikan sokongan kepada saya.

"Saya berharap dapat mengekalkan prestasi ini bagi menghadapi saingan Siri Super Akhir di Dubai nanti," kata Chong Wei.