Terbuka Denmark: Juara bertahan Momota tarik diri

Oleh Muzaffar Musa 4 Oktober 2020 316
Terbuka Denmark: Juara bertahan Momota tarik diri
Penganjuran Kejohanan Badminton Terbuka Dermark minggu depan menerima tamparan hebat apabila juara bertahan dua kali, Kento Momota, bersama 14 lagi pemain Jepun memilih untuk menarik diri daripada kejohanan itu berikutan kebimbangan penularan COVID-19 yang semakin meningkat di Eropah.

Persatuan Badminton Jepun mengesahkan perkara itu, yang berkemungkinan besar disebabkan peningkatan kes positif di Denmark -- lebih kurang 400 kes baru dicatatkan setiap hari.

Pemain nombor satu dunia itu, yang dijadualkan untuk berdepan pemain Kanada, Brian Yang, dalam pusingan pertama, tidak pernah menyertai sebarang kejohanan kompetitif sejak pulih daripada kemalangan jalan raya di Malaysia awal tahun ini.



Juara dunia itu berkemungkinan akan menyertai Kejohanan Antarabangsa Jepun pada hujung tahun ini.

Dalam pada itu, masih ada wakil Jepun dalam kejohanan itu pada 13 hingga 18 Oktober depan apabila perseorangan wanita nombor empat dunia, Nozomi Okuhara, dan perseorangan lelaki di ranking ke-16 dunia, Kenta Nishimoto, memilih untuk turun bersaing.

Terbuka Denmark merupakan satu-satunya baki kejohanan yang berada dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun ini, tujuh bulan selepas Kejohanan Seluruh England pada Mac lalu.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen