Cabaran jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, dalam Terbuka Denmark berakhir seawal pusingan kedua setelah tumpas di tangan pemain India, H.S Prannoy, dalam aksi tiga set.

Chong Wei yang juga pilihan ketujuh kejohanan, bergelut beraksi di tahap terbaik selepas gagal merangkul gelaran Terbuka Jepun, bulan lalu.

Walaupun rekod pertemuan kedua-dua pemain lebih memihak bekas pemain nombor satu dunia itu dengan dua kemenangan dalam tiga pertemuan sejak 2013, namun set pertama didominasi pemain dari India itu yang menerapkan corak permainan pantas yang memerangkap Chong Wei yang terpaksa akur 17-21.

Seperti baru tersentak daripada lamunan, juara Seluruh England tahun ini itu mudah mengatasi Prannoy yang keletihan dalam set kedua untuk menang 21-11 lalu mengheret permainan ke set penentuan.

Nasib jelas tidak menyebelahi pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik itu meskipun berjaya bangkit selepas beberapa kali ketinggalan dalam set penentuan sebelum terpaksa akur dengan kekalahan 19-21.

Keputusan itu sekaligus menyaksikan Chong Wei tersingkir awal, malah gagal memburu hadiah sempena ulang tahun ke-35 yang bakal disambutnya esok.