Hasrat beregu campuran kebangsaan untuk merampas sekurang-kurangnya satu gelaran Super 750 jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) musim ini tidak kesampaian berikutan penyingkiran Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam separuh akhir Terbuka China di Fuzhou, hari ini.

Aksi di Pusat Sukan Olimpik Haixia itu merupakan kejohanan bertaraf Super 750 terakhir daripada lima keseluruhannya musim ini.

Soon Huat-Shevon membangkitkan keterujaan apabila layak ke separuh akhir dengan menyingkirkan pasangan beregu nombor satu Thailand, Dechapol Puavaranukro- Sapsiree Taerattanachai, dalam suku akhir semalam.

Namun, mereka tahu memerlukan sesuatu yang luar biasa dalam separuh akhir apabila terpaksa mencongak perhitungan menentang beregu nombor satu dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong.

Bagaimanapun, wakil tuan rumah itu membuktikan mengapa mereka adalah yang terbaik di dunia apabila hanya membenarkan Soon Huat-Shevon mengejar bayang-bayang mereka sepanjang permainan.

Dalam set pertama, ada ketika Soon Huat-Shevon memperoleh mata berharga.

Bagaimanapun, kekalahan 16-21 hanya melunturkan semangat mereka untuk berjuang dalam set berikutnya.

Seperti dijangka, tiket final milik Siwei-Yaqiong yang memuktamadkan pertemuan selepas 34 minit dengan kemenangan 21-10.

Sementara itu, hasrat beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, mencabar kejuaraan di Fuzhou sehari selepas menyingkirkan juara dunia tidak kesampaian apabila ditunjuk jalan keluar dalam laluan ke final.

Suku akhir semalam menyaksikan Aaron dan Wooi Yik mencetus sensasi selepas merekodkan kemenangan ke atas juara bertahan, Hendra Setiawan dan Muhamad Ahsan.

Lebih mengagumkan, Aaron dan Wooi Yik lolos ke separuh akhir dengan kemenangan straight sets 21-13 dan 22-20 menjadikan pertemuan tersebut antara pencapaian terbaik mereka untuk musim ini.

Halangan mereka ke final adalah pasangan senior Jepun, Takeshi Kamura dan Keigo Sonoda yang juga pilihan keempat saingan.

Hanya satu pertemuan antara mereka sebelum ini yang memihak gandingan Jepun itu di Terbuka New Zealand, Mac lalu.

Berbeza dengan aksi di New Zealand itu Aaron dan Wooi Yik gagal menghadirkan tentangan apabila mudah memberikan mata kepada lawan.

Hanya 31 minit untuk pertemuan ini menemui titik noktah dengan kemenangan buat Kamura dan Sonoda hasil kemenangan straight sets 21-13, 21-14.