Hasrat beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, memburu gelaran ketiga musim ini lebur dalam pusingan kedua kepada beregu Indonesia, Praveen Jordan-Melati Oktavianti.

Peng Soon-Liu Ying yang mengecapi kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat dan Masters Thailand diletak selaku pilihan berdepan Praveen dan Melati.

Walaupun mudah melepasi halangan pertama dengan menundukkan wakil India, ia tidak menjamin kemaraan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu yang kelihatan bergelut mendapatkan mata.

Pasangan Indonesia itu menguasai gelanggang dengan pukulan ke segenap penjuru untuk menang set pertama 21-17.

Skrip yang hampir sama berulang dengan beregu ranking ke-15 dunia itu terus mengasak pasangan negara yang dilihat sukar mendapatkan mata dan kerap melakukan kesilapan yang memberikan mata kepada lawan, sekali gus menoktahkan cabaran wakil negara 21-15 dalam tempoh 37 minit.

Kekecewaan turut dirasai bergu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang tewas di tangan wakil tuan rumah yang juga pilihan ketiga kejohanan, Zhan Nan-Liu Cheng.

Berdasarkan rekod pertemuan, pasangan negara berpotensi mara -- ditambah aksi menarik yang dipamerkan pada permulaan permainan -- bagaimanapun gagal melakukannya apabila tewas dalam set pertama 19-21.

Set kedua lebih menarik dengan kedua-dua pasangan saling bertukar mata sebelum pukulan kemas V Shem-Wee Kiong berjaya mengganggu rentak lawan untuk mengheret permainan ke set penentuan menerusi kemenangan 22-20.

Malangnya, momentum sama gagal diulangi V Shem-Wee Kiong yang pantas ditinggalkan Zhan Nan-Liu Cheng dalam set ketiga untuk pertemuan ini dinoktahkan lebih mudah 21-15.