Cabaran Malaysia dalam saingan badminton Grand Prix Emas Terbuka Bitburger di Jerman berakhir selepas pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, tewas dalam aksi separuh akhir, semalam.

Selepas mengatasi pilihan ketiga dari Perancis, Brice Leverdez, dalam suku akhir, Zii Jia berdepan seorang lagi pemain benua Eropah, Rasmus Gemke dari Denmark, bagi penentuan ke final.

Walaupun turun selaku pilihan ke-14, namun itu bukan jaminan mudah buat Zii Jia apabila Gemke kelihatan lebih tenang mengawal permainan.

Meraih kemenangan dalam set pembukaan 21-11, bintang muda Denmark ini kemudian meneruskan momentum sama dalam set berikutnya.

Gagal diberi tentangan, Gemke mudah mara ke final selepas memenangi set kedua 21-12 dalam aksi yang hanya mengambil masa 33 minit.

Kemenangan ini menyaksikan Gemke mara ke final GP Emas buat pertama kali dan bakal berdepan wakil Taiwan, Hsu Jen-hao.