Bekas pemain badminton Indonesia, Taufik Hidayat, mengkritik Kementerian Sukan negara itu dengan memanggil mereka sebagai 'tikus rasuah' selepas mengakui peranannya sebagai orang tengah dalam kes rasuah.

"Tidak kira siapa menterinya, ia pasti sama. Separuh daripada bangunan itu patut dimusnahkan kerana terdapat banyak tikus di dalamnya," kata Taufik dalam satu temubual YouTube.

Bahasa kasar daripada bekas juara Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia itu terbit selepas dia memberikan keterangan di mahkamah minggu lalu kerana membantu bekas menteri belia dan sukan Indonesia, Imam Nahrawi, memberikan sejumlah wang bernilai lebih daripada RM300,000 kepada pembantu peribadinya, Miftahul Ulum.

"Saya diminta untuk membantu melalui panggilan telefon. saya bersetuju untuk membantu tetapi saya tidak memberitahu Imam bahawa saya telah memberikan wang itu kepada Ulum," kata Taufiq dalam sesi perbicaraannya.

Bekas pemain berusia 38 tahun itu menafikan bahawa dia mengetahui wang itu adalah wang rasuah tetapi mendakwa adalah perkara biasa untuk pegawai kementerian menggelapkan dana melalui program sukan.

Dia, bagaimanapun, mengakui tidak mempunyai bukti konkrit berkenaan dakwaan itu.

Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Gatot S. Dewa Broto, menolak tuduhan Taufik, seperti yang dipetik oleh media tempatan.

"Kami hanya perlu membuktikan [bahawa dia salah] dengan melakukan tugas kami," kata Gatot.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia berkata Taufik harus mengajukan aduan formal berkenaan tuntutannya.

Juara Terbuka Indonesia enam kali itu juga menjadi tumpuan negatif apabila Tommy Suhartanto - pengarah program sukan nasional yang ditamatkan pada 2018 - mengaku telah memberikan Taufik RM242,000 untuk membantunya dalam kes rasuah 2017, yang melibatkan Sukan Asia 2018.

Taufik menafikan ada menerima wang daripada Tommy.

Kes berkenaan masih berjalan kerana pendakwa raya perlu menyiasat lebih lanjut mengenai tuntutan Taufik dengan mengesahkan kenyataannya dengan saksi lain..