Di sebalik kekalahan pasangan beregu campuran negara dalam pusingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia hari ini, perkara lebih merisaukan adalah keadaan fizikal pemain negara, Goh Liu Ying, yang sekali lagi ditimpa kecederaan dan berkemungkinan terlepas aksi dalam Sukan Asia 2018.

Sejurus tamat perlawanan menentang wakil Hong Kong, Tan Chun Man-Tse Ying Suet, yang berkesudahan Malaysia tewas 12-21, 21-11, 10-21, Liu Ying membuat pengakuan bahawa dia sebenarnya beraksi sambil menanggung kecederaan.

Dia ditimpa kecederaan pada kaki kiri ketika beraksi menentang pasangan England, Marcus Ellis dan Lauren Smith, dalam pusingan ketiga semalam.

Situasi itu menimbulkan kegusaran memandangkan Liu Ying baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut pada awal tahun ini.

"Saya belum tahu secara terperinci kerana masih belum menemui doktor. Diharapkan ia tidak teruk kerana setakat ini, saya boleh bergerak.

"Saya tidak mahu fokus kepada kecederaan saya sahaja. Kami tetap beraksi dengan sepenuh hati dan walaupun berada pada tahap 80 peratus cergas, saya tetap memberikan segala-galanya," ujar Liu Ying.

Bagaimanapun, ketua jurulatih beregu campuran, Pang Cheh Chang, tidak panik dan mahu menunggu laporan penuh perubatan mengenai keadaan fizikal Liu Ying sebaik sahaja tiba di Malaysia nanti.

Seandainya Cheh Chang tidak dapat menggunakan khidmat Liu Ying dalam Sukan Asia Indonesia, dia masih boleh menggandingkan Peng Soon bersama Cheah Yee See atau seorang lagi pemain, Lai Pei Jing, yang turut berada dalam senarai panjang ke temasya itu.

"Sekarang, saya perlu melihat dulu keadaan dan pulang. Segalanya cuma satu jangkaan ketika ini dan saya mahu menunggu keputusan sebenar.

"Mungkin apabila sudah diteliti, kecederaan dia tidak begitu serius dan sempat untuk pulih, jadi dia mungkin boleh dikekalkan. Saya tidak boleh mengesahkan apa-apa tanpa sebarang laporan," katanya.