Syauqi-Thien Chi cipta kejutan

Oleh Azizan Hashim 15 Disember 2019 753
Syauqi-Thien Chi cipta kejutan
Kejutan besar berlaku dalam pusingan kedua acara beregu lelaki Kejohanan Badminton B-21 Kebangsaan 2019 di Arena Badminton Perak, Ipoh hari ini. 

Ini berikutan kekalahan pasangan pilihan utama, Ooi Jhy Dar-Yap Roy King, kepada Mohd Syauqi Mohd Puzi-Wong Tien Chi. 

Turun selaku pilihan keenam, Syauqi-Tien Chi tidak menghiraukan reputasi lawan apabila membenam pasangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu dalam perlawanan tiga set. 

Gandingan Kedah-Johor itu menang set pertama 21-17 tetapi Jhy Dar-Roy King bangkit dalam set kedua dengan kemenangan 21-17. 

Bagaimanapun, Syauqi-Tien Chi memperbaiki persembahan dalam set penentuan untuk menang 21-10 bagi merangkul hadiah wang tunai RM2,250. Jhy Dar-Roy King terpaksa berpuas hati dengan RM750. 

Sementara itu, Ng Qi Xuan-Desiree Siow Hao Shan menepati ramalan selaku pasangan pilihan utama dengan muncul juara beregu wanita.

Gandingan Negeri Sembilan-Perak itu menundukkan pasangan pilihan kedua dari BAM, Low Yeen Yuan-Siow Zi Xuan, 21-14, 20-22, 20-15 untuk meraih RM1,500. Naib juara meraih RM500. 

Sebelum itu, Hao Shan muncul juara beregu campuran apabila bergandingan dengan Wong Thien Chi. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen