Skuad badminton Sabah menyasarkan dua pingat gangsa dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor yang dijadualkan berlangsung Mac tahun depan.

Presiden Persatuan Badminton Sabah (SBA), Janih Bangud, berkata sasaran berkenaan diharap dapat dicapai menerusi pemain perseorangan wanita serta beregu lelaki mereka.

"Kami harap pemain perseorangan wanita iaitu Arena (Satu Samin) serta beregu lelaki Eddral (Atek) dan Neville (Baptist Luaran) akan menyinar dalam Sukma kelak dan mampu membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa," katanya ketika dihubungi, semalam.

Janih menjelaskan seramai 15 pemain iaitu 10 lelaki dan lima wanita kini tersenarai dalam program latihan skuad Sukma Sabah.

"Kami akan membuat pemilihan terakhir sebelum mengumumkan senarai akhir.

"Buat masa ini kami belum tahu berapa pemain yang akan berada dalam senarai akhir kerana pihak MSN (Majlis Sukan Negeri) hanya mahu yang terbaik disenaraikan untuk Sukma," katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata barisan pemain kini masih menjalani latihan sendiri di rumah masing-masing dengan dipantau oleh jurulatih menerusi video yang dihantar menggunakan aplikasi Whatsapp.