Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, tetap memberikan tumpuan terhadap persediaan dua wakil negara, Iskandar Zulkarnain dan Lee Zii Jia, untuk menampilkan aksi lebih meyakinkan dalam Sukan SEA, 25 hari lagi.

Ketika tumpuan lebih terarah kepada cabaran jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, untuk menghadapi Kejohanan Dunia, Misbun tetap menyedari kepentingan agar dua wakil negara ini berjuang sehabis mungkin dalam Sukan SEA, 19-31 Ogos ini.

Jelasnya, masih banyak yang perlu dilakukan tetapi beliau yakin dengan tempoh masa yang ada, Iskandar dan Zii Jia dapat meningkatkan lagi prestasi mereka.

Misbun sudah melatih Iskandar sejak beliau memulakan tugas 3 Julai lalu manakala Zii Jia baharu sahaja menjalani latihan sepenuh masa bersamanya bermula Isnin lalu.

“Saya cuba nak selami mereka, mahu mencari kekurangan yang dimiliki kerana Iskandar dan Zii Jia adalah pemain yang baru di bawah pengawasan saya.

“Oleh kerana masa yang begitu suntuk, Chong Wei juga memerlukan perhatian tetapi saya cuba yang terbaik untuk melatih mereka,” kata Misbun.

Sukan SEA edisi ke-28 menyaksikan skuad badminton negara membawa pulang emas dalam acara perseorangan lelaki menerusi Chong Wei Feng.

Bagaimanapun, saingan kali ini menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya menyasarkan emas menerusi acara beregu wanita dan beregu campuran.

“Saya sudah dapat melihat persiapan untuk menghadapi kejohanan tetapi saya masih belum nampak bayangan untuk meraih kemenangan.

"Banyak lagi perkara yang harus dilakukan seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengenalpasti kualiti yang dimiliki oleh pemain-pemain negara.”