Bintang badminton para negara, Cheah Liek Hou, meraikan kiraan 100 hari menjelang Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dengan satu lagi kejuaraan.

Liek Hou unggul dalam Kejohanan Antarabangsa Cartagena, Sepanyol, untuk mengekalkan rekod tanpa kalah sejak Oktober 2019.

Ia merupakan gelaran kedua buat anak buah Rashid Sidek itu selepas merangkul trofi Terbuka Antarabangsa Dubai, bulan lalu.

Perlawanan akhir di Cartagena pada awal pagi tadi itu menyaksikan Liek Hou menidakkan wakil Jepun, Taiyo Imai, dalam klasifikasi perseorangan lelaki SU5 menerusi keputusan straight set 21-13, 21-11.

"Latihan dan strategi permainan saya menuju ke arah yang betul cuma saya perlu gilap lagi aspek keamatan, kepantasan dan kekuatan sebagai persiapan menjelang 100 hari lagi Sukan Paralimpik," katanya ketika temu bual esklusif bersama Nadi Arena, sebentar tadi.





Sekalipun saingan di Sepanyol itu tidak menampilkan dua seterunya dari Indonesia termasuk pemain nombor satu dunia, Deva Anrimusthi, dia tetap menegaskan kempen kali ini sebagai satu pengalaman berharga sebelum Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos depan.

"Bagus juga wakil Indonesia tidak menyertai pertandingan di sini jadi apabila berdepan pemain di ranking lebih rendah, saya dapat menguji tahap semasa saya sebagai dorongan untuk berlatih dengan gigih."