21y7uuuuuuJaguh badminton para negara, Chieh Liek Hou, berwaspada dengan kelibat pemain tuan rumah, Suryo Nugroho, dalam usahanya melakar hatrik pingat emas acara perseorangan Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Liek Hou tampil sebagai sandaran utama untuk menjelmakan kilauan emas buat skuad badminton para negara.

Menyertai tiga acara, misi utama Liek Hou sudah pasti mempertahankan emas perseorangan yang dimenangi dalam temasya Incheon 2014 dan Guangzhou 2010.

Namun, kehadiran Nugroho dalam temasya kali ini mampu menggugat peluang Liek Hou setelah pemain muda Indonesia itu mudah menundukkan perseorangan kedua negara, Faris Ahmad Azri, dalam acara berpasukan.

"Saya akan cuba mempertahankan emas yang dimenangi empat tahun lalu.

"Taruhan baru Indonesia, Suryo, seorang pemain yang cukup bagus, lagipun dia pantas kerana masih muda .

"Saya akan fokus satu persatu aksi, bermula di peringkat kumpulan," katanya.

Berdasarkan undian acara perseorangan, Liek Hou dan Nugroho dijangka berentap di peringkat separuh akhir.

Semalam, Liek Hou membantu skuad berpasukan negara merangkul perak yang juga pingat pertama kontinjen para negara di Jakarta.

Selain acara perseorangan, Liek Hou turut mengidamkan emas dalam acara beregu bersama gandingannya, Hairul Fozi Saaba.