Bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim, menganggap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memerlukan satu sentuhan drastik buat Lee Zii Jia sekiranya tidak mahu berputih mata dalam pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Perebutan mata ke temasya itu akan bermula Mac depan, namun dengan prestasi buruk dipamerkan dalam tiga kejohanan berturut-turut -- Kejohanan Akhir Jelajah Dunia dan dua Terbuka Thailand di Impact Arena, Bangkok -- mengundang tanda tanya terhadap kredibiliti perseorangan utama lelaki tersebut untuk layak.

"Lee Zii Jia perlu memberi tumpuan khusus mengenai apa kelemahan sebenar yang berlaku dalam kejohanan ini. Kalau dia fikir staminanya belum mencukupi , ini yang harus ditekankan.

"Saya yakin dia masih ada semangat juang. Mac depan pemburuan mata Sukan Olimpik akan bermula, jadi dia sebenarnya tiada masa lagi.

"Dia harus melakukan satu pendekatan drastik untuk dapatkan balik prestasi sebenarnya," katanya ketika dihubungi wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, sebentar tadi.

Tambahnya: "Secara keseluruhan, (prestasinya) sedikit mengecewakan. Dia sendiri pasti kecewa dengan prestasinya, saya harap apa-apa yang berlaku dalam tiga kempen dijadikan satu pengajaran.

"Menerusi permainan yang ditonjolkannya, saya berpendapat selain tahap kecergasannya yang tidak cukup untuk tiga kejohanan ini, satu lagi adalah semangat untuk menang tidak ada."

RESULTS: World Tour Finals Group A #INA ?? Anthony Sinisuka Ginting def. #MAS ?? Lee Zii Jia 21-12 15-21 21-13 #BadmintonMalaysia #BadmintonLovers

Posted by Badminton Association of Malaysia - BAM on Friday, January 29, 2021


Namun, pemain dari Kedah berusia 23 tahun itu sama sekali tidak boleh menggunakan alasan belum cukup panas.

"Rata-rata pemain mengalami situasi yang sama.

"Dia harus tahu bahawa dia adalah pemain nombor satu negara, bukan lagi pemain pelapis.

"Perkara seperti ini perlu dihadapinya, rata-ratanya mereka pernah berjumpa -- ada menang dan kalah -- jadi rekod itu sudah ada. Ia bukan satu alasan yang kukuh."