Jika tidak kerana pandemik COVID-19, pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, sudah bersama kontinjen di Tokyo, Jepun bagi menghadapi aksi sulungnya di pentas Sukan Olimpik.

Biarpun sedikit terkilan kerana terpaksa menunggu setahun lagi, pemain kelahiran Kedah itu menganggapnya sebagai satu tempoh terbaik untuk mematangkan gaya permainannya.

"Tahun 2020 berlalu dengan cepat dan tahap prestasi semasa tidak boleh diukur ekoran kebanyakan kejohanan dibatalkan.

"Jadi, peluang ini harus digunakan sebaiknya sebagai medan persiapan menghadapi temasya berprestij dunia itu nanti," katanya.

Dalam meletakkan sasaran, Zii Jia sudah pasti enggan pulang awal dari Tokyo tambahan pula, dia tidak mahu peristiwa tewas mengejut di tangan pemain tidak ternama seperti yang berlaku dalam Kejohanan Kebangsaan tahun lalu berulang.

"Tekanan sebagai sandaran utama acara perseorangan lelaki sedikit mencemaskan, namun fokus saya sudah pasti tidak mahu terbuai dengan harapan 32 juta rakyat Malaysia yang masih menantikan kilauan pingat emas pertama negara di pentas Olimpik," tambahnya.