Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, masih belum berpuas hati biarpun mereka kini berada di ranking ketujuh kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mahu menambah mata kelayakan mereka dalam baki tiga kejohanan edisi ini bagi melayakkan diri dengan kedudukan yang lebih selesa.

"Saya rasa ia masih belum cukup memandangkan sasaran kami untuk berada di ranking empat teratas masih berlum tercapai," kata Peng Soon kepada Nadi Arena.

Lui Ying menambah: "Tiada kejohanan sepanjang tahun lalu, jadi kami memerlukan masa untuk mendapatkan suasana kejohanan.

"Sehingga kini barulah kami mendapat suasana kejohanan sebenar dan masih terdapat beberapa kejohanan yang boleh memberikan kami lebih keselesaan di atas gelanggang.

"Jika kami terus beraksi dalam tiga kejohanan ini, saya rasa ia akan mencukupi," katanya.

Dalam pada itu, Liu Ying turut meluahkan rasa lega setelah menerima suntikan pertama vaksin COVID-19.

Baginya, ia dapat meningkatkan keyakinannya untuk menyertai kejohanan di luar negara berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini, kami agak takut untuk ke luar negara kerana situasi paling bahaya adalah ketika di lapangan terbang dan di dalam pesawat penerbangan.

"Jadi, selepas divaksin, mungkin kebimbangan itu berkurangan," katanya.