"Saya tak mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hantar penumpang ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata presiden persatuan itu, Datuk Seri Norza Zakaria, selepas pemain negara mempamerkan aksi hambar dalam Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland yang berakhir hari ini.

Dalam kejohanan itu, hanya perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, melangkah ke peringkat suku akhir, namun laluannya disekat oleh pemain nombor satu dunia, Kento Momota, kelmarin.

Norza menuntut barisan kejurulatihannya melakukan sesuatu yang drastik untuk mengurangkan jurang prestasi di antara pemain di bawah naungan persatuan itu dan pemain dari negara lain.

Bagaimanapun, beliau optimis masalah itu mampu diatasi menjelang Sukan Olimpik tahun depan.

"Saya tidak mahu BAM hanya menghantar penumpang ke Sukan Olimpik akan datang.

"Kalau begitu, jurulatih mesti tanya siapa penumpang dan siapa kita boleh berikan harapan.

"Mungkin kami boleh fokuskan kepada pemain-pemain muda," katanya.

Sementara itu, bekas pemain negara, Datuk Razif Sidek, beranggapan bahawa skuad kebangsaan perlu menggandakan usaha demi mencapai kedudukan lebih baik.

"Kita nampak pemain perseorangan kita, Lee Zii Jia, dapat memasuki peringkat suku akhir.

"Itu satu kejayaan bagi dirinya dan rakyat Malaysia ketika ini.

"Tapi saya lihat permainannya tidak boleh bertahan lama.

"Jadi, saya harap jurulatih dan pihak-pihak tertentu akan dapat memperbaiki sistem latihan supaya dia lebih menyerlah dalam kejohanan yang akan datang," katanya.