Kelibat jurulatih beregu lelaki negara, Flandy Limpele, terus menjadi tanda tanya setelah tiada bayangnya kelihatan tatkala skuad badminton kembali melapor diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.

Seramai 38 individu yang terdiri daripada pemain dan jurulatih melapor diri di ABM dengan melalui ujian saringan ketat.

Namun, kelibat Flandy tidak kelihatan dan BAM tidak dapat memberikan kata putus mengenai tarikh muktamad jurulatih dari Indonesia itu akan mula melaporkan diri.

Ia membabitkan polisi negara ketika ini yang menyekat kemasukan warga asing memasuki Malaysia bagi membendung wabak Covid-19.

Dalam masa sama, barisan kejurulatihan juga akan membuat penilaian dalam memilih kejohanan tertentu sahaja yang akan disertai pemain negara walaupun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah pun merombak jadual antarabangsa bermula September depan dengan menyenaraikan 21 kejohanan termasuk Piala Thomas.

"Proses dapat berjalan lancar melalui pelbagai agensi kerajaan. Jadi, kami memang sedang merayu untuk mempercepatkan proses ini," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Haan.

"Kami tidak dapat beraksi dalam semua kejohanan tetapi perancangan untuk setiap pemain sudah ada."

Choong Hann turut menjelaskan pemain beregu campuran, Shevon Lai, tidak akan menyertai skuad badminton negara selama dua minggu sehingga pemain itu benar-benar pulih daripada jangkitan demam denggi dan BAM telah memanggil Cheah Yee See untuk bergandingan dengan Goh Soon Huat.

"Shevon dibenarkan untuk pulang dan berehat serta menjalani satu lagi ujian di hospital sekitar minggu depan. Ia berlandaskan nasihat doktor dan jika boleh, baru kami akan memanggil semula Shevon," tambah bekas pemain kebangsaan itu.

Dalam perkembangan lain, berita gembira menanti barisan pemain badminton negara di bawah program "Road To Tokyo" setelah ujian Covid-19 yang diambil semalam menunjukkan keputusan negatif.

Situasi itu bermakna mereka boleh memulakan latihan esok tetapi dalam masa sama perlu mematuhi protokol umum dan khusus sepanjang sesi latihan dijalankan.

"Kami lihat tahap serius perlanggaran SOP. Jika tidak memakai topeng keselamatan, kami akan suruh. Namun, kami akan sentiasa pantau melalui pengurus sukan yang berada bersama pasukan masing-masing serta pegawai Institut Sukan Negara (ISN)," ujar Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

"Kami boleh mulakan latihan esok. Sepanjang dua hari, disebabkan ini hanya kali pertama sejak proses kuarantin yang dijalani sebelum ini," tambah pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.