Kelab Badminton (BC) Serdang melakukan kebangkitan dramatik dalam perlawanan SS Purple League (SSPL) 2018/19 di Gem In Mall petang tadi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menang 12-11 ke atas Tebrau City BC.

Memulakan acara perseorangan lelaki, pemain dari China, Ye Binghong, meletakkan Tebrau City BC di depan setelah mengutip mata kemenangan 3-2 (11-7, 7-11, 10-11, 11-8, 6-4) selepas mengatasi pemain muda Serdang BC, Muhd Shaqeem.

Selepas itu, dalam acara perseorangan wanita, giliran pemain negara, Lee Ying Ying, pula mengatasi Wei Yawen juga dengan mata kemenangan 3-2 (10-11, 7-11, 11-4, 11-3, 5-4) dalam tempoh 30 minit masa permainan.

Kemenangan itu meletakkan Tebrau City mendahului 6-4 dan gandingan Lee Jian Yi-Lim Zhen Ting terus menjadikan kedudukan 9-6 buat Tebrau City BC selepas turut menang dalam acara beregu lelaki.

Gandingan itu mengambil masa 30 minit untuk menang 3-2 (11-7, 11-8, 10-11, 10-11, 10-3) ke atas pasangan Serdang BC, Ong Wei Khoon-Yap Qar Siong.

Bagaimanapun, beregu campuran Serdang BC, Guo Yuchen-Yuen Sin Ying kembali memberikan nafas kepada pasukannya apabila mengalahkan pasangan Tebrau City BC, Low Hang Yee-Soong Fie Cho, 3-2 (4-11, 11-7, 11-8, 8-11, 10-8). Kemenangan itu membolehkan Serdang BC merapati Tebrau City BC 9-11.

Serdang BC yang ketinggalan daripada segi kutipan set mata menggunakan satu lagi aksi perseorangan lelaki untuk bangkit.

Kemenangan mutlak 3-0 (11-5, 11-8, 11-9) yang dicapai oleh Lee Chia Hao ke atas Fikri Ihsandi memberikan senyuman buat pasukannya, Serdang BC, sekali gus mengesahkan kebangkitan dramatik dalam kemenangan sulung Serdang BC musim ini.

Dijulang sebagai wira Serdang BC, Chia Hao berkata: “Saya tidak berfikir mengenai mata kemenangan yang dicari, sebaliknya bermain mengikut kemampuan sendiri.”

“Jurulatih juga memberikan pesanan yang serupa dan akhirnya kemenangan 3-0 yang diperoleh berjaya membuatkan Serdang BC meraih kemenangan berharga malam ini."