Saingan peringkat pertama pusingan round robin merebut kedudukan teratas SS Purple League (SSPL) 2018/19 yang kini memasuki perlawanan kelima semakin rancak dan menarik di Gem In Mall, Cyberjaya.

Kedudukan Ampang Jaya BC di takhta SSPL semalam tidak bertahan lama selepas juara bertahan, Puchong United BC, mengatasi Serdang BC 13-7, malam tadi, sekali gus merampas kedudukan teratas.

Puchong United BC kini di puncak dengan 58 set kemenangan, diikuti Ampang Jaya BC dengan 55 dan Petaling BC di kedudukan ketiga menerusi 45 set kemenangan.

Namun, kedudukan selaku pendahulu tetap meresahkan pengurus Puchong United, Irina Inozemtseva, yang menganggap dua baki perlawanan peringkat pertama adalah sangat berliku buat mereka.

“Perlawanan malam ini (tadi) sangat penting kepada kami, pagi tadi (semalam) pula pemain persorangan lelaki, Goh Giap Chin, disahkan demam dan tidak cergas sepenuhnya untuk beraksi.

"Saya begitu menghargai pengorbanan Giap Chin yang memilih untuk turun beraksi menentang Serdang BC,” katanya.

Inozemtseva menambah: “Biarpun sedang mendahului liga selepas aksi sebentar tadi (tengah malam tadi), namun tugas kami bukan mudah.

"Selepas ini, kami perlu menang menentang Bandar Maharani BC dan dalam aksi terakhir menentang satu lagi pasukan kelompok atasan, Petaling BC.

"Perlawanan itu akan menjadi penentu kedudukan dua pasukan teratas untuk mendapatkan tiket automatik ke pusingan akhir di Resorts World, Genting.”

Giap Chin mengutip kemenangan pertama buat Puchong United BC dalam acara perseorangan lelaki selepas menewaskan Liu Zejia 3-1 (9-11, 11-9, 11-8, 11-6).

Puchong United BC, bagaimanapun, tersentap seketika selepas pemainnya, Ho Yen Mei, tewas dalam acara perseorangan wanita.

Yen Mei tewas 1-3 (9-11, 11-9, 7-11, 4-5) kepada Lyanny Alessandra Mainaky untuk kedudukan keseluruhan terikat 4-4.

Gandingan Lim Khim Wah-Ong Yew Sin kembali meletakkan Puchong United BC di depan 7-5 setelah mengatasi gandingan Serdang BC, Lwi Sheng Hao-Pei Tianyi 3-1 (7-11, 11-6, 11-10, 11-4).

Selepas itu, pasangan Ng Tsz Yau-Tan Kian Meng terus melebarkan kedudukan menjadi 10-6 buat Puchong United BC selepas mereka menumpaskan Cheng Wen-Yap Qar Siong 3-1 (10-11, 11-6, 11-4, 11-9) dalam acara beregu campuran.

Lee Cheuk Yiu yang turun dalam acara perseorangan lelaki kedua tidak bermasalah untuk mengutip kemenangan ke atas Wang Yihui 3-1 (11-3, 11-5, 10-11, 11-3), sekali gus membawa pasukannya, Puchong United, mengatasi Serdang BC 13-7.