Biarpun persaingan untuk merebut gelaran SS Purple League (SSPL) 2018/19 masih awal dan agak sengit dengan penyertaan pemain-pemain handalan dunia, namun juara bertahan, Kelab Badminton (BC) Puchong United, tetap memulakan aksi sulung dengan penuh keyakinan.

Menambah sengat pasukan dengan kemasukan pemain berpengalaman, Goh Giap Chin, bersama mereka musim ini, Puchong United BC menumpaskan lawan, Tebrau City BC, 13-8 di Gem In Mall, Cyberjaya sebentar tadi.

Dalam acara perseorangan lelaki pertama, Giap Chin yang berpindah dari Petaling Jaya BC, tidak menghampakan pasukan barunya apabila menang mengatasi pemain Tebrau City BC dari China, Ye Binghong, 3-1 (11-6, 9-11, 11-10, 11-10).

Giap Chin yang ditemui selepas perlawanan berkata dia gembira dapat membantu pasukan barunya mendapatkan mata meskipun dia mempunyai kekangan masa untuk melakukan persiapan rapi.

“Saya sangat gementar kerana saya hanya mempunyai tiga hari untuk melakukan persediaan dan pada hari keempat, iaitu hari ini, saya sudah turun menghadapi lawan yang hebat,” katanya.

"Binghong bukanlah calang-calang pemain. Dia adalah bintang meningkat naik dalam pasukan badminton China. Dia pernah mengejutkan Tommy Sugiarto (Indonesia) dan membawa Chen Long untuk beraksi dalam tiga set dalam perlawanan sebelum ini. Apapun, saya gembira dengan sokongan rakan sepasukan Puchong United untuk saya menang hari ini,” kata Giap Chin.

Selepas itu, dalam acara perseorangan wanita, Ho Yen Mei terus mengutip mata kemenangan buat Puchong United BC. Dia bersaing sengit sebelum menundukkan pemain muda, Lee Ying Ying, 3-2 (8-11, 11-7, 11-5, 9-11, 2-1) dalam 30 minit format pertarungan.

Kedudukan pungutan Puchong United BC semakin kukuh apabila gandingan beregu lelaki, Tan Boon Heong-Teo Ee Yi mengatasi pasangan Tebrau City BC, Lim Zhen Ting- Ng Eng Cheong, 3-2 (10-11 11-4 11-7 10-11 7-3) bagi melebarkan pungutan mata kepada 9-5.

Namun, Puchong United BC menerima tamparan apabila beregu campuran, Lim Khim Wah- Ng Tsz Yau, gagal meneruskan penguasaan apabila tumpas 1-3 (8-11 11-9 6-11 9-11) kepada pasangan Tebrau City, Low Hang Yee- Soong Fie Choo.

Satu lagi aksi perseorangan lelaki, Lee Cheuk Yiu mempamerkan aksi menyakinkan buat Puchong United untuk mengatasi lawannya, Fikri Ihsandi Hadmadi, 3-0 (11-9, 11-6, 11-5) sekali gus mengesahkan kemenangan yang juga tonik awal milik juara bertahan SSPL itu.

Dalam perlawanan yang berlangsung tengah hari tadi pula, pendatang baru, Bukit Mertajam All Stars BC, memulakan saingan dengan positif apabila menewaskan satu lagi pasukan baru SSPL, Bandar Maharani BC, 10-8.

Bukit Mertajam All Stars BC berjaya memungut mata kemenangan yang masing-masing disumbangkan oleh Subajya Riyanto (perseorangan lelaki), Kong Yi Jin (perseorangan wanita) dan Lucas Corvee (perseorangan lelaki).

SSPL 2018/19, yang berlangsung dalam format round robin dan playoff, memulakan peringkat pertama dari 21-24 Disember, 26-30 Disember dan 2-6 Januari 2019. Peringkat kedua pula adalah pada 11-13 Januari di venue sama di Gem In Mall, Cyberjaya manakala pusingan akhir akan berlangsung di Resorts World Genting pada 24-27 Januari 2019.