Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota, akan memulakan aksinya bersama Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya dalam saingan SS Purple League (SSPL) 2018/19 di Gem In Mall, Cyberjaya, Isnin ini.

“Kento Momota akan sampai di sini esok. Setakat ini, saya dapat sahkan bahawa dia akan mula bermain untuk kami bagi perlawanan SSPL pada 24 dan 26 Disember ini,” kata pengurus Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong, ketika dihubungi sebentar tadi.

“Dengan kehadiran Momota, pastinya ini merupakan satu lonjakan semangat buat pasukan Ampang Jaya BC. Apapun, kami perlu menghormati pasukan lawan dan fokus untuk menang nanti,” tambahnya.

Mengikut jadual, Momota yang akan beraksi Isnin ini (8 malam) ketika mereka turun menentang Kepong BC, diikuti satu lagi perlawanan yang pastinya sengit adalah berdepan juara bertahan SSPL, Puchong United BC, Rabu ini (8 malam).

SSPL 2018/19, yang akan berlangsung dalam format round robin dan playoff, memulakan peringkat pertama dari 21-24 Disember, 26-30 Disember, dan 2-6 Januari 2019. Peringkat kedua pula adalah pada 11-13 Januari di venue sama di Gem In Mall, Cyberjaya manakala pusingan akhir akan berlangsung di Resorts World Genting pada 24-27 Januari 2019.