Kehadiran pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota, nyata tidak menghampakan apabila mencuri mata penting untuk membantu Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya BC menang dalam perlawanan SS Purple League (SSPL) 2018/19 di Gem In Mall, tengah malam tadi.

Dalam pertemuan itu, Ampang Jaya BC hampir-hampir dikejutkan Kepong BC, namun kemenangan mutlak Momota dalam aksi perseorangan lelaki memastikan pasukannya mengecapi kemenangan kedua berturut-turut. Mereka mengatasi finalis musim lalu, Kepong BC, 11-9.

Ampang Jaya BC terlebih dulu mencipta kemenangan menerusi pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, yang menewaskan pemain Kepong BC, Lim Chi Wing, 3-2 (9-11, 7-11, 11-4, 11-6, 5-4) dalam masa 30 minit.

Goh Jin Wei yang turun selepas itu dalam acara perseorangan wanita menjarakkan lagi pungutan mata kepada 6-3. Dia tidak bermasalah menundukkan pemain Kepong BC, Lin Jhih Yun, 3-1 (11-10, 10-11, 11-8, 11-3).

Ampang Jaya, bagaimanapun, tewas dalam acara beregu lelaki. Beraksi sengit dalam 30 minit permainan, gandingan Low Juan Shen- Lukhi Apri Nugroho tewas 2-3 (11-6, 5-11, 11-6, 9-11, 4-10) kepada pasangan Kepong BC, Lu Ching Yao- Yang Po Han. Keputusan itu membolehkan Kepong BC merapatkan mata kepada 8-6.

Perlawanan terus berlangsung rancak selepas itu apabila Kepong BC melakar kejutan dalam acara beregu campuran. Kali ini, Ampang Jaya yang diwakili Chan Peng Soon-Wong Kha Yan tewas 0-3 (10-11, 3-11, 7-11) kepada Mohd Arif Abdul Latif- Ng Wing Yung. Keputusan itu membuatkan Ampang Jaya BC pula ketinggalan 8-9.

Apapun, kebangkitan Kepong BC digagalkan oleh bintang Ampang Jaya BC, Momota, yang turun dalam satu lagi aksi perseorangan lelaki.

Membuat penampilan pertamanya bersama Ampang Jaya BC dalam SSPL, Momota tidak mengecewakan apabila memastikan kemenangan menjadi milik pasukannya 11-9 selepas dia menang 3-0 (11-8, 11-6, 11-6) menewaskan Soong Joo Ven.

Momota yang ditemui selepas perlawanan berkata, “Peraturan aksi SSPL agak berlainan dengan kejohanan lain, jadi saya agak gementar pada mulanya, namun berjaya memberikan persembahan terbaik hari ini.”

“Saya memperoleh pengalaman yang sangat bagus daripada format Purple League. Permainan dalam liga ini sangat pantas. Saya harap dapat gunakannya untuk memperbaiki aksi saya,” katanya.

Dalam satu lagi aksi petang tadi, Kelab Badminton (BC) Serdang melakukan kebangkitan dramatik daripada ketinggalan untuk menang 12-11 ke atas Tebrau City BC. Ia adalah kemenangan pertama yang diraih Serdang BC dalam kempen SSPL musim ini.